Monday, 16 January 2012

Rancangan Pengajaran Harian

Rancangan Pengajaran Harian
Mata pelajaran: Bahasa Melayu
Kelas: Pemulihan Khas
Tarikh: 17 Februari 2011
Masa: 7.10 pagi – 8.40 pagi (90 minit)
Bilangan murid: 12 orang
Tajuk : Saudara- mara Huda
Topik : Mari dengar eja dan baca
Bidang pelajaran: Suku kata terbuka dan suku kata tertutup
Objektif pembelajaran: Membaca dan menulis ayat mudah dengan perkataan dari suku kata                                                          terbuka dan suku kata tertutup.
Standard pembelajaran:
i.          Kemahiran mendengar dan bertutur
-           Mendengar, memahami, menyebut dan mengeja perkataan yang mengandungi suku kata terbuka dan tertutup dengan betul dan tepat.
ii.         Kemahiran membaca
-           Membaca dan memahami perkataan yang mengandungi dua atau tiga suku kata dengan sebutan yang betul.
-           Mengeja dan membatang suku kata terbuka dan tertutup dengan sebutan yang betul.
iii.        Kemahiran menulis
-           Menulis suku kata terbuka dan tertutup dengan cara yang betul dan tulisan yang kemas
-           Menulis perkataan yang mengandungi dua suku kata terbuka dan tertutup dengan betul dan tulisan yang kemas.




Hasil pembelajaran: Di akhir sesi pembelajaran ini, murid dapat:
i.          Kognitif
-           membaca suku kata dan tertutup tertutup dengan sebutan yang betul
-           menyatakan ciri-ciri perkataan dari suku kata terbuka dan tertutup dengan betul
-           Membaca ayat mudah yang mengandungi perkataan dari suku kata terbuka dan tertutup dengan sebutan yang betul.

iii.        psikomotor
-           membatang perkataan dalam teks yang terdiri dari perkataan suku kata terbuka dan tertutup.
-           menulis lima ayat mudah yang mengandungi perkataan dari suku kata terbuka dan tertutup dengan ejaan yang betul.

iv.        afektif
-           bertindak balas terhadap arahan guru dengan cara melakukan tugasan individu dengan    pantas
-           bekerjasama dengan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kumpulan

Fakta/konsep/generalisasi:
Suku kata terbuka
-           satu suku kata dua huruf, huruf pertama konsonan huruf kedua vokal
 contoh; ba, pa, ne, da, se, pu,
-           dua suku kata terbuka menghasilkan  satu perkataan bermakna (4 huruf) contoh; bapa, baju, saya,
-           dua suku kata terbuka menghasilkan perkataan bermakna (3 huruf) contoh; ibu, itu, ini
-           tiga suku kata terbuka menghasilkan perkataan bermakna (6 huruf) contoh; sepupu, selalu, mereka, kerusi,


Suku kata tertutup
-           satu suku kata tiga huruf.  Huruf pertama dan ketiga konsonan dan  huruf  kedua vokal.contoh; dik, cik, pak, nek, tuk, yah, mak
-           dua suku kata tertutup (6 huruf) yang menghasilkan perkataan yang bermakna. Contoh; mak cik, pak cik, gambar, pensel, kertas, pensel, cermin,
Gabungan suku kata terbuka dan tertutup
Contoh; ayah, emak, adik, epal, akan, datuk, nenek, hidup, kerja, pandai, hidup,

Bahan, peralatan dan bahan sumber pembelajaran:
Kad manila, kad suku kata, kad perkataan, komputer, LCD slaid projekter, buku teks Bahasa Malaysia Tahun 1.
Pengetahuan sedia ada:
Murid telah mempelajari suku kata terbuka dan perkataan dari suku kata terbuka.
Murid telah mempelajari suku kata tertutup dan perkataan dari suku kata tertutup.
(d)   Instrumen untuk menilai kemahiran membaca murid. Aktiviti 3

Huda ada datuk.
Huda ada nenek.
Mereka kasih akan Huda.
Datuk dan nenek tinggal di kampong.
Datuk dan nenek hidup bahagia.

Pak Ali datuk Huda.
Mak Kalsom nenek Huda.
Datuk Huda bela ayam.
Datuk Huda beri ayam makan.
Si Jalak ayam jantan datuk.

(e)    Instrumen penaksiran kemahiran menulis. Bina lima ayat mudah yang mengandungi perkataan dari suku kata terbuka dan tertutup.
IMPLEMENTASI DARI RANCANGAN PENGAJARAN YANG KE- 4
Sesi pengajaran dimulakan pada fasa satu yang menggunakan gambar sebagai langkah mencungkil idea ternyata banyak membantu murid menghubungkait pelajaran lalu dengan pelajaran yang akan mereka pelajari hari tersebut. Pada mulanya murid-murid belum dapat meneka apakah tujuan gambar keluarga dipaparkan. Setelah guru memberi sedikit bayangan  barulah murid dapat menjawab soalan yang diutarakan. Jawapan yang dinyatakan oleh murid-murid seperti perkataan datuk, nenek, ayah, emak, mak cik, pak cik dan perkataan lain yang berkaitan dengan gambar tersebut menunjukkan mereka sudah bersedia mengikuti pembelajaran seterusnya.
Fasa kedua (menstruktur semula idea) dimulakan dengan aktiviti mengeja dan menyebut perkataan dari suku kata terbuka dan tertutup berdasarkan gambar yang telah dipaparkan. Guru memberi bimbingan kepada murid agar dapat mengeja dan menyebut dengan betul. Murid-murid dibahagikan kepada tiga kumpulan, setiap kumpulan terdiri dari empat orang murid. Aktiviti ini dilakukan secara keseluruhan kelas dan kumpulan yang mengambil masa selama 10 minit.
Selepas itu dalam aktiviti kedua murid-murid diminta mengeja dan menyebut perkataan-perkataan dari suku kata terbuka dan tertutup yang dipaparkan pada slaid projekter. Terdapat dua perbezaan aktiviti ini dengan aktiviti  yang pertama tadi. Pertama perkataan yang dipaparkan tidak bergantung sepenuhnya pada gambar seperti aktiviti pertama tadi tetapi daripada perkataan lain yang masih dalam kategori suku kata terbuka dan tertutup. Jika diamati perkataan ini telah pun mereka pelajari pada pelajaran lepas. Perbezaan kedua pula dari segi teknik membaca seperti mengeja dan menyebut. Pada aktiviti pertama guru membimbing bacaan murid, kali ini murid secara kumpulan dan individu tanpa bimbingan guru. Guru hanya selaku fasilitator dengan mendengar bacaan murid sama ada secara kumpulan mahu pun individu. Aktiviti ini dijalankan selama 20 minit. Melalui aktiviti ini guru boleh menaksir secara umum tahap penguasaan kemahiran membaca murid-murid.
Dalam aktiviti yang ketiga murid-murid dikehendaki membaca teks yang mengandungi ayat-ayat mudah daripada perkataan suku kata terbuka dan tertutup. Aktiviti ini dilakukan secara individu bertujuan menaksir tahap kebolehan membaca secara lebih terperinci dalam masa lebih kurang 15 minit.
Aktiviti terakhir dalam fasa kedua ini mengkehendaki semua murid membina dan menulis lima ayat mudah yang mengandungi perkataan dari suku kata terbuka dan tertutup. Kemampuan murid menulis ayat-ayat mudah menunjukkan penguasaan mereka terhadap semua kemahiran bahasa yang mereka pelajari pada sesi pembelajaran kali ini. Murid-murid diberi masa 15 minit untuk menyiapkan tugasan yang bertujuan menaksir kebolehan menulis.
Dalam fasa ketiga (aplikasi idea), setiap murid diminta membaca ayat yang telah mereka tulis. Guru memberi ulasan dalam bentuk pembetulan, peneguhan dan penghargaan. Aktiviti ini berlangsung selama 20 minit.
Semasa membuat rumusan isi pelajaran didapati murid secara umum dapat menyatakan pelajaran yang mereka perolehi dalam sesi pembelajaran pada hari tersebut.
Pecahan 3 - Refleksi selepas Pengajaran
Pengajaran terlaksana seperti yang telah dirancang. Dua perkara yang baik tentang pengajaran  saya ialah dari aspek pelaksanaan aktiviti dan kemahiran yang diajar bersesuaian dengan tahap kebolehan murid dalam kelas pemulihan khas. Pendekatan yang pelbagai seperti berpusatkan guru dan berpusatkan murid yang saya aplikasikan dalam pengajaran berupaya mewujudkan penglibatan murid secara lebih aktif. Penggunaan bahan bantu mengajar yang sedikit kelihatan klasik iaitu kad perkataan yang dahulunya ditulis dengan tangan pada kad manila  tetapi kini ditambahbaik dengan hanya memaparkan melalui slaid projekter memberi banyak impak kepada murid. Teknik ini banyak membantu saya terutama dalam menyediakan bahan-bahan bacaan agar kelihatan lebih menarik dan yang paling penting memudahkan murid dalam mengecam suku kata. Selain itu, instrumen penaksiran yang bersifat formatif membantu saya mengesan tahap penguasaan murid dalam suatu kemahiran.
Perkara kedua ialah kemahiran yang diajar sesuai dengan aras kebolehan murid kelas pemulihan khas. Ketiadaan buku teks untuk pembelajaran dalam kelas pemulihan menyebabkan saya memilih alternatif lain untuk merancang pengajaran. Selama ini saya hanya berpandukan naskah sukatan pelajaran yang diedarkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Sabah pada tahun 2007. Namun begitu saya tetap mengambil berat perihal kemahiran yang tepat dan betul untuk murid kelas pemulihan khas. Justeru itu, saya mengambil keputusan untuk menggunakan buku teks bahasa Malaysia Tahun 1 yang mempunyai banyak persamaan dari segi  kemahiran dengan kemahiran  yang dipelajari dalam kelas pemulihan khas. Kemahiran yang disertai dengan aktiviti yang melibatkan semua murid yang mempunyai pelbagai latar belakang membantu pencapaian hasil pembelajaran.
Dua perkara yang boleh diperbaiki ialah mempelbagaikan lagi teknik pengajaran dan penggunaan bahan bantu mengajar dan belajar. Selepas ini, saya mungkin membawa murid-murid belajar di luar kelas seperti di pondok alam sekitar sekolah. Ini bertujuan memberi kelainan dalam sesi pembelajaran mereka. Saya mahu murid-murid ini belajar dalam suasana yang tidak formal kerana saya dapati segelintir dari mereka terlalu berasa rendah diri sehingga tidak menonjol semasa pembelajaran di dalam kelas. Dengan cara yang santai ini, saya berharap sedikit sebanyak sikap malu dan rendah diri dalam diri mereka dapat dikurangkan sedikit demi sedikit.
Dalam aspek penggunaan bahan bantu mengajar dan belajar, selepas ini saya akan mencuba kaedah atau bahan baru yang lebih bersifat bermain sambil belajar. Ini kerana saya merasakan penggunaan bahan yang bersifat permainan ini mampu melibatkan semua murid.
Sesi pengajaran dan pembelajaran lalu menjadi pemangkin untuk murid-murid terus mengikuti setiap kemahiran yang disampaikan. Ini memudahkan mereka mengikuti pelajaran atau kemahiran pada aras  yang lebih tinggi pada sesi pembelajaran akan datang. Namun secara keseluruhan pengajaran dalam kelas pemulihan khas kurang relevan diaplikasi dalam kelas perdana kerana banyak strategi, teknik dan aktiviti yang sama   berulang. Ini biasa berlaku dalam kelas pemulihan khas yang  diikuti oleh murid yang rendah aras inteleknya. Aktiviti yang dijalankan kurang mencabar memang kurang sesuai dengan murid yang pintar. Namun begitu, saya tetap bersyukur kerana murid-murid ini menunjukkan minat yang tinggi untuk terus mengikuti pengajaran walaupun secara jujur penguasaan mereka baru mencapai 60 peratus sahaja. Saya tidak akan mengaku kalah sehingga mereka berjaya menguasai semua kemahiran bahasa yang saya sampaikan.

No comments:

Post a Comment